Semoga keluarga Awang Askandar diberi ketabahan – PM
PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan dukacita dan simpati atas kehilangan wira negara Leftenan Kolonel Awang Askandar Ampuan Yaacub yang meninggal dunia sewaktu dalam misi menawan puncak tertinggi di dunia Gunung Everest pada 19 Mei lalu.
Jenazah selamat disemadikan pada Sabtu |
Menerusi ciapan di akaun Twitternya, Anwar berkata pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar buat negara, insiden itu jelasnya turut mengundang rasa pilu rakyat Malaysia.
“Saya sempat ketemu saudara Awang (Askandar) di Parlimen sebelum keberangkatannya ke Everest dan ternyata sikap serta semangat yang ditonjolkan amat mengujakan.
“Saya dan keluarga serta seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan bersama golongan beriman selain kaum keluarganya diberikan ketabahan serta kekuatan dalam menempuhi ujian ini,” kata Presiden KEADILAN itu.
Awang Askandar, 56, yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, dilaporkan terjatuh ketika melakukan pendakian ke puncak Gunung Everest pada ketinggian kira-kira 8,000 meter dari aras laut sebelum disahkan meninggal dunia ketika hendak diberikan rawatan di Kem 4.
Jenazah peserta misi pendakian Malaysia Everest 2023 itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Benoni, Papar, Sabah pada 5.20 petang semalam.