Anwar

Agihan RM700 juta Sumbangan Asas Rahmah 2024 secara berperingkat mulai hari ini

Program subsidi bersasar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM700 juta mulai diagihkan secara berperingkat hari ini, dengan pelbagai penambahbaikan, termasuk diperluaskan kepada 210,000 penerima.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan bagi program subsidi bersasar itu bertambah lima kali ganda berbanding peruntukan tahun lalu dengan jumlah terkini RM700 juta berbanding RM130 juta tahun lalu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan lebih besar itu membolehkan kerajaan menambah jumlah penerima Sara kepada 700,000 orang berbanding 210,000 pada tahun lalu.

“Alhamdulillah, sukacita saya maklum program subsidi bersasar SARA akan kembali bermula hari ini secara berperingkat.

“Selain itu, program SARA sudah ditambahbaik dengan peruntukan melonjak lebih lima kali ganda kepada RM700 juta, ketimbang perbelanjaan RM130 juta pada tahun lalu.

“Peruntukan lebih besar ini membolehkan kerajaan menambah jumlah penerima Sara kepada 700,000, ketimbang 210,000 pada tahun lalu,” katanya pada hantaran di Facebook, hari ini.

Pelaksanaan Sara akan bermula hari ini bagi penerima dari Semenanjung, manakala penyaluran bantuan tunai untuk penerima dari Sabah, Sarawak dan Labuan akan bermula 19 Februari ini.

Mengambil kira sambutan program SARA yang menggalakkan pada tahun lalu, kerajaan juga telah meluaskan rangkaian rakan runcit (pasar raya/kedai) yang mengambil bahagian kepada 515 buah (setakat 17 Januari 2024) berbanding 424 buah (tahun 2023) di seluruh negara.

Selain itu, penggunaan kredit program Sara akan diperluaskan kepada tiga kategori barangan asas tambahan iaitu barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan.

Anwar berkata, jumlah bantuan juga dinaikkan sehingga RM1,200, iaitu kenaikan sekali ganda daripada tahun lalu.

“Transformasi ekonomi Malaysia bermula dengan mengangkat darjat rakyat.

“Penambahbaikan program SARA ini, satu langkah awal untuk menangani kesenjangan kekayaan serta membina sebuah masyarakat yang inklusif seperti didambakan dalam kerangka Ekonomi MADANI.

“Insya-Allah, kerajaan akan mengumumkan lebih banyak penambahbaikan kepada bantuan-bantuan lain bagi mengangkat ekonomi golongan rentan dan menjunjung prinsip kesaksamaan,” katanya.

Related Articles

Back to top button