Individu ugut bunuh PM Anwar dipenjara enam bulan
Seorang pemandu lori dipenjara enam bulan kerana mengancam membunuh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi TikTok, tahun lalu.
Hakim, N. Priscilla Hemamalin memerintahkan Faizal Mohamad,35, menjalani hukuman penjara bermula hari ini.
Tertuduh, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah terhadap pertuduhan terbabit.
Mengikut pertuduhan, tertuduh memulakan penghantaran yang mengancam Perdana Menteri dan menteri-menteri pada 20 November 2023.
Faizal yang menangis selepas mendengar hukuman itu, didakwa membuat dan memulakan penghantaran yang mengancam sifatnya dengan menggunakan nama profil Tiktok @jaiadani89 dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Hantaran itu telah dibaca pada 26 November tahun sama, pada 12 tengah hari di sebuah kondominium di Jalan Tong Shin, Dang Wangi Kuala Lumpur, mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal berkata, hantaran dibuat OKS tidak wajar serta bersifat mengancam dan perlu lebih berhati-hati menggunakan media sosial.