hiburan

Konsert Ed Sheeran di Bukit Jalil boleh diteruskan – Menteri Komunikasi

Penganjuran konsert artis antarabangsa, Ed Sheeran yang diajadualkan pada 24 Februari ini di Stadium Nasional Bukit Jalil masih boleh diteruskan.

Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, buat masa ini tiada sebarang perubahan kepada kelulusan permohonan untuk mengadakan konsert terbabit.

“Buat masa ini, ya (konsert masih boleh diteruskan),” katanya.

Ed Sheeran didakwa menyokong aktiviti LGBT dan pernah menganjurkan konsert di Malaysia pada April 2019 di stadium sama.

Terdahulu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor memberikan pandangan berhubung penganjuran konsert Ed Sheeran yang memohon Kementerian Komunikasi mengambil kira dan menghormati pandangan mufti sebelum membenarkan sebarang acara hiburan termasuk konsert.

Menurut Wan Salim, apatah lagi pandangan mengenai larangan terhadap aktiviti golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang bukan merupakan ijtihad ulama tetapi berdasarkan nusus syar’iyyah yang disebut dengan jelas dalam al-Quran dan hadis.

Mengulas lanjut Fahmi berkata, beliau sudah merujuk mengenai perkara itu dengan Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL).

“Saya terima baik pandangan Mufti Pulau Pinang (Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor) mengenai perkara ini, namun antara 16 agensi yang terbabit dalam perbincangan untuk memutuskan permohonan mana-mana persembahan artis luar negara melalui jawatankuasa PUSPAL adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Sudah pasti saringan teliti dibuat oleh semua agensi ini, jadi saya mohon supaya proses sedia ada ini (diikuti), kita ambil maklum pandangan tetapi kita ada prosesnya,” katanya, hari ini.

Bagaimanapun pihaknya akan meneliti perkara berkenaan sekiranya tindakan perlu diambil.

Related Articles

Back to top button