Petronas tamatkan spekulasi, sahkan tiada perbincangan bawa kembali F1 ke Sepang
PETRONAS menafikan spekulasi untuk membawa kembali Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) ke Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang.
Melalui satu kenyataan pada Rabu, PETRONAS memaklumkan tiada perbincangan diadakan berhubung perkara itu susulan laporan berita mengenai potensi untuk membawa kembali penganjuran acara sukan permotoran berprestij itu pada 2026.
“Kami mengesahkan bahawa tiada perbincangan mengenai membawa kembali sukan itu ke Litar Antarabangsa Petronas Sepang,” menurut syarikat minyak dan gas multinasional Malaysia itu.
BACA LAGI: Insentif berkaitan pelepasan cukai yuran latihan sukan diumumkan sebelum Mac – Hannah
Perlumbaan berprestij F1 diadakan di SIC setiap tahun dari 1999 sehingga kerajaan memutuskan untuk menghentikan acara itu pada 2017 berikutan penurunan pulangan yang ketara dan peningkatan kos penganjuran.
SIC bagaimanapun masih menjadi sebutan peminat F1 sekali gus mewujudkan spekulasi berterusan tentang potensi litar itu untuk kembali ke kejohanan tersebut.