Global

Anwar usul cadangan penubuhan Dana Kewangan Asia

PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi gesaan penubuhan Dana Monetari Asia sejajar dengan inisiatif ASEAN.

Gesaan itu yang dilontarkannya pada sesi pembukaan dan pleno Sidang Kemuncak ASEAN Ke-42 2023 di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur, Indonesia pada Rabu.

Langkah untuk lindungi kepentingan ASEAN

Menurut Anwar, dana dicadangkan itu boleh menjadi mekanisme serantau yang dapat memahami lebih baik lagi realiti dan keperluan negara anggota ASEAN serta mencadangkan langkah-langkah pemulihan yang lebih sesuai sekaligus mengukuhkan kebergantungan ekonomi dan jaringan keselamatan di rantau ini.

Dana tersebut juga menurutnya dapat meningkatkan penggunaan mata wang tempatan untuk menyokong pelaburan dan perdagangan rentas sempadan di ASEAN.

“Menyedari keperluan untuk meningkatkan kemerdekaan ekonomi serantau dan jaringan keselamatan, saya telah menyeru penubuhan Dana Kewangan Asia (AMF).

“Mekanisme secara serantau sebegini akan dapat memahami lebih baik realiti dan keperluan negara-negara di rantau ini dan, dengan itu, mencadangkan langkah-langkah pemulihan yang lebih sesuai.

“Saya mengalu-alukan Deklarasi Pemimpin ASEAN berhubung Memajukan Ketersambungan Pembayaran Serantau dan Menggalakkan Transaksi Mata Wang Tempatan,” jelasnya.

Dalam ucapannya Perdana Menteri turut menyatakan harapan selepas deklarasi berkaitan mata wang itu diterima, usaha seterusnya adalah menterjemahkan persetujuan itu ke dalam tindakan lebih konkrit.

Beliau dan pemimpin ASEAN lain menghadiri sidang kemuncak itu untuk membincangkan beberapa isu kepentingan bersama kepada perkumpulan serantau tersebut.

Sebanyak lapan ketua kerajaan daripada 10 negara anggota ASEAN menyertai sidang kemuncak itu kecuali Myanmar yang tidak dijemput dan Thailand yang menghadapi pilihan raya pada 14 Mei ini.

Turut hadir Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Horn dan Perdana Menteri Timor Leste Taur Matan Ruak.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button