Semasa

Kerangka Strategik Kementerian Komunikasi bakal dibangunkan – Fahmi

Kerangka Strategik Kementerian Komunikasi Tahun 2024-2025 bakal dibangunkan bagi memperkasa jaringan, infrastruktur telekomunikasi serta komunikasi sosial, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Berucap di Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Putrajaya pada Selasa Fahmi berkata, kerangka dengan visi Masyarakat MADANI Berinfomasi, Berhubung, Berdaya Maju dan Kreatif itu turut akan memacu pertumbuhan ekonomi kandungan kreatif; dan memperkukuh masyarakat dengan maklumat yang berkualiti dan berkesan menerusi sumber penerangan dan penyiaran yang berintegriti.

“Visi dan misi ini ditunjangi enam teras strategik, di mana setiap teras dicerakinkan dengan strategi-strategi, program-program yang akan dilaksanakan oleh semua pasukan kerja merentasi jabatan, agensi, bahagian di kementerian, untuk manfaat semua lapisan rakyat di negara ini,” katanya.

BACA LAGI: Selaras konsep MADANI, KPKT tumpu usaha benteras tapak pelupusan sampah haram

Mengulas lanjut, antara teras kerangka strategik kementerian itu termasuklah, memantapkan infrastruktur telekomunikasi dan kebolehcapaian yang berkualiti, memperkukuh dasar dan kawal selia ekosistem telekomunikasi, pos dan kurier negara yang efektif, serta memperkasa perkhidmatan penyiaran yang bekualiti dan dinamik.

Kerangka itu jelasnya akan didokumenkan dan dijadikan sumber rujukan utama semua warga kerja berpasukan di kementerian, dalam menjajarkan perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan pelaporan bidang keberhasilan Kementerian Komunikasi bagi menjayakan fasa dua tahun terakhir Rancangan Malaysia Ke-12.

“Saya meminta agar semua warga kerja berpasukan di kementerian ini cakna berkenaan perkara ini. Kita merupakan satu pasukan dan semua perlu berada dalam landasan dan laras bahasa yang sama, serta bergerak seiring ke arah matlamat yang telah disasarkan,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button