AnwarSemasa

Ibrah dari peristiwa Israk Mikraj harus bugar sepanjang zaman – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak umat Islam di negara ini memperingati iktibar peristiwa Israk Mikraj agar berwaspada dan berubah.

Melalui perutusan sempena Israk Mikraj dikongsikan di laman Facebooknya, Anwar menegaskan umat Islam harus mendokong usaha untuk memastikan keadilan ditegakkan, bermula dari dalam diri hingga kepada keadilan masyarakat.

“Perjalanan Israk dan Mikraj itu menjadi penguat keimanan terhadap kerasulan Baginda, peristiwa itu juga mengungkap 1001 iktibar yang dipertontonkan terkait soal akidah dan akhlak bagi seorang hamba. Maka hampir wajib ibrahnya dibugar di sepanjang zaman.

“Walhasil, umat dituntut agar istiqamah dalam mendirikan solat lima waktu, kasih dan ihsan terhadap fakir miskin serta membenam perilaku dusta dan nafsu serakah. Yang demikian itu syarat bagi melonjakkan kebangkitan dan kemajuan bangsa,” kata Anwar.

Melalui hantaran itu, beliau turut menegaskan, peristiwa Israk Mikraj turut terpakai dalam hal yang menggusarkan kita sekarang terkait pemerasan ke atas rakyat Palestin.

BACA LAGI: MADANI bukan sekadar pacu ekonomi, tetapi seni dan budaya Islam juga

“Sementelahan pula Baitul Maqdis di Palestin itulah jua asas kepada mikraj Baginda dalam pendakiannya menuju puncak cakerawala.

“Maka, harus kita dukung sekalian usaha buat memastikan keadilan tertegak, bermula dari dalam diri hinggalah kepada keadilan masyarakat.

“Bebas al-Quds! Merdeka Palestin! Moga kezaliman tumpas dan umat terbela,” katanya.

Related Articles

Back to top button