Semasa

163 perkhidmatan disediakan di Program Madani Rakyat di Kuala Selangor

Orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan berkaitan agensi kerajaan pada Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor yang akan berlangsung pada 23 hingga 25 Februari ini.

Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Industri Makanan dan Asas Tani, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Zurihanmi Zakariya berkata sebanyak 163 perkhidmatan kerajaan bakal disediakan untuk pengunjung.

Daripada jumlah itu jelasnya 121 ialah perkhidmatan agensi Persekutuan daripada 26 kementerian, manakala selebihnya perkhidmatan kerajaan negeri.

“Antara perkhidmatan rakan daripada kementerian dan jabatan (kerajaan) ialah kaunter diskaun saman trafik dan sebagaimana sambutan hebat pada program di Bukit Jalil tahun lepas, akan ada kaunter daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk penukaran topi keledar.

“(Turut disediakan) kaunter-kaunter perkhidmatan lain seperti kaunter semakan bantuan Rahmah, pemeriksaan kesihatan percuma dan sebagainya …” katanya.

Beliau berkata begitu ketika menjadi tetamu pada program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV pada Rabu.

Sementara itu tambahnya, KPKM sebagai kementerian peneraju program itu akan membuka pavilion khusus dan menyediakan khidmat nasihat secara terus kepada pengunjung berkaitan pelbagai elemen antaranya teknologi padi, akuakultur, vertical farming selain menyediakan petting zoo sebagai tarikan kanak-kanak.

“Kita juga akan ada Jualan Agro MADANI yang menawarkan paling kurang 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran,” tambahnya.

Terdahulu, Sekretariat Program MADANI Rakyat dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan program bertujuan memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk bersama-sama memahami, melihat dan menilai dasar serta inisiatif baharu yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI dalam usaha meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

BACA LAGI: Kerajaan anjur program Madani Rakyat Zon Tengah di Selangor pada 23 hingga 25 Februari

Program itu memberi tumpuan kepada aktiviti yang berkaitan dengan pertanian dan keterjaminan makanan, program TVET serta program kesejahteraan rakyat, selain pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor.

Majlis penutupan Program MADANI Rakyat Zon Tengah dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 Februari.

Related Articles

Back to top button