Kementerian Kewangan yakin ekomomi 2024 akan lebih kukuh
Perdana Menteri yakin pentadbirannya mampu mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih kukuh pada tahun ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan melalui satu kenyataan berkata, pertumbuhan antara 4% dan 5% itu mampu dicapai berdasarkan asas kukuh dan pembaharuan yang digariskan dalam Ekonomi Madani dan Belanjawan 2024.
“Ekonomi Madani menekankan kepentingan mengislahkan ekonomi Malaysia bukan sahaja untuk menangani cabaran sistemik yang sejak sekian lama berakar tetapi juga memberikan tumpuan kepada bidang pertumbuhan yang mampan dan berdaya tahan.
“Kerajaan bertekad untuk terus mengecilkan defisit fiskal kepada 4.3% tahun ini, sejajar dengan komitmen dalam Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.
“Kerajaan berjaya mengurangkan defisit fiskal kepada 5% pada 2023 daripada 5.6% pada 2022,” kata kenyataan dikeluarkan Kementerian Kewangan itu.
Belanjawan 2024 menekankan komitmen kerajaan terhadap pengurusan fiskal yang bertanggungjawab dan penyasaran semula subsidi.
Sementara itu, kementerian berkata strategi dan inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 akan memacu pelaburan berkualiti dalam industri bernilai tambah tinggi terutamanya dalam industri berteknologi tinggi, peralihan tenaga, dan digital serta seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat.
Kerajaan juga akan mempercepat usaha merangsang pertumbuhan ekonomi baharu dan merealisasi pembaharuan dan keadilan sosial.
“Ia susulan pemetaan strategi pertumbuhan ekonomi baharu Malaysia melalui kerangka Ekonomi Madani,” tambah kenyataan tersebut.
Mengulas mengenai KDNK 2023 diumumkan semalam, Kementerian berkata, ekonomi negara kembali normal dengan pertumbuhan sebanyak 3.7% pada 2023 berikutan pertumbuhan kukuh yang dicatatkan pada tahun sebelumnya (2022: 8.7%).
BACA LAGI: Inisiatif oleh KPDN antara faktor turunkan kadar inflasi
Meskipun persekitaran luaran yang mencabar, kementerian berkata ekonomi negara mencatat pertumbuhan sebanyak 3% pada suku keempat 2023, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan yang meningkat sebanyak 5.2% pada suku tahun tersebut (suku ketiga 2023: 4.8%).
“Inflasi menyederhana kepada 1.6% (suku ketiga 2023: 2%) menunjukkan keberkesanan strategi kerajaan menyasarkan semula subsidi yang tidak menyebabkan kejutan kepada keseluruhan ekonomi.
“Pada Disember 2023, kadar inflasi mereda kepada 1.5%. Kadar ini adalah lebih rendah berbanding ekonomi negara maju dan serantau yang lain seperti Zon Euro (2.9%), Korea Selatan (3.2%), Amerika Syarikat (3.4%), Filipina (3.9%) dan Indonesia (2.6%),” katanya.