ekonomi

KDNK Malaysia diunjur mengukuh kepada 4.7 peratus pada tahun ini – MIDF Research

MIDF Research mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia mengukuh kepada 4.7 peratus tahun ini, dengan mengambil kira pemulihan perdagangan luar, walaupun mencatatkan pertumbuhan sederhana sebanyak 3.7 peratus tahun lepas.

Dalam nota penyelidikannya, firma itu berkata, ia menjangkakan peningkatan dalam eksport elektrik dan elektronik, ditambah dengan permintaan luar yang semakin meningkat daripada pasaran-pasaran utama seperti China dan Amerika Syarikat (AS).

“Selain itu, kami menjangkakan pertumbuhan ekonomi tahun ini terus dipacu oleh peningkatan berterusan dalam perbelanjaan domestik, disokong oleh pasaran buruh yang sihat, peningkatan pendapatan dan ketibaan pelancong yang pulih berterusan (dan perbelanjaan),” katanya.

Namun begitu, MIDF kekal berhati-hati dengan perkembangan luaran seperti pertumbuhan yang lebih perlahan di China, kemungkinan risiko kemelesetan di AS, dan gangguan kepada perdagangan global hasil daripada ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.

Kesemua faktor itu boleh menjadi risiko penurunan kepada prospek pertumbuhan Malaysia pada 2024.

“Di peringkat domestik, kami berpendapat bahawa tekanan harga yang meningkat berkemungkinan menjejaskan kuasa beli pengguna dan perbelanjaan mereka,” tambahnya.

Sementara itu, dalam nota penyelidikan berasingan, OCBC Global Markets Research mengunjurkan bahawa KDNK Malaysia akan mencatatkan pertumbuhan 4.2 peratus tahun ini berdasarkan tinjauan optimistik yang berhati-hati.

“Kami menjangkakan sokongan yang lebih ketara kepada pertumbuhan KDNK melalui penggunaan sektor swasta dan perbelanjaan pelaburan.

“Selain itu, kami menjangkakan penurunan paling rendah kitaran eksport elektronik, mungkin pada separuh kedua 2024, yang akan membantu mengurangkan risiko penurunan kepada pertumbuhan eksport,” katanya.

Dalam pada itu, Malaysia mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 3.7 peratus pada 2023, lebih rendah sedikit daripada jangkaan dipacu oleh aktiviti ekonomi dan keadaan pasaran buruh yang terus pulih.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, pertumbuhan sederhana dalam persekitaran luaran yang mencabar pada tahun lepas, berikutan pertumbuhan kukuh sebanyak 8.7 peratus dicatatkan pada 2022.

Bank pusat itu memberitahu, bagi suku keempat 2023, KDNK negara berkembang sebanyak 3.0 peratus susut sedikit berbanding 3.3 peratus yang dicatatkan pada suku sebelumnya, tetapi lebih tinggi dari 2.9 peratus yang dicatatkan pada suku kedua.

Related Articles

Back to top button