Negeri Sembilan setuju terima geran RM500,000 dari KBS
Kerajaan Negeri Sembilan bersetuju menerima geran berjumlah RM500,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menaik taraf sistem perparitan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
EXCO Pembangunan Belia dan Sukan Mustapha Nagoor berkata, dana disalurkan melalui KBS itu akan membantu negeri meningkatkan kemudahan sukan sekaligus memastikan pasukan bola sepak negeri terus kompetitif di Liga Malaysia.
“Kita bersetuju dengan tawaran itu dan surat juga dihantar kepada KBS. Kontraktor telah dikenal pasti bagi kerja menaik taraf tersebut.
“Kontraktor itu bagus dan berpengalaman, pernah melakukan kerja-kerja naik taraf di Selangor dan Bukit Jalil, Kuala Lumpur,” katanya.
Mustapha ditemui pemberita pada Majlis Penutup Kejohanan Sukan Negeri Sembilan (SUKNES) di Seremban.
BACA LAGI: KBS salur geran untuk setiap negeri, naik taraf rumput dan sistem saliran venue Liga Malaysia
KBS sebelum ini menawarkan geran sebanyak RM500,000 kepada setiap negeri termasuk Wilayah Persekutuan akan membantu pasukan menyediakan venue yang lebih baik dan tidak mengganggu perjalanan liga disebabkan padang yang lecak dan ditakungi air.
Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut berbesar hati mengurniakan sumbangan berjumlah RM300,000 kepada setiap pasukan bagi menampung kos penyelenggaraannya.
Sementara itu tambah Mustapha, difahamkan dana tersebut akan disalurkan sekitar tempoh dua bulan ini. tanya.