Persekutuan sedia bantu Sarawak selaras Ordinan Buruh
Kerajaan Pesekutuan bersedia membantu menyelaraskan Ordinan Buruh Sarawak dengan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) yang sudah dikuat kuasakan di Semenanjung Malaysia.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata, pindaan ordinan itu perlu dibuat berikutan banyak perkara berkaitan hak pekerja seperti waktu bekerja dan gaji tidak selaras dengan Semenanjung Malaysia.
“Justeru kita mahu seragamkan semua perkara dalam Akta Kerja itu dengan Sarawak dan Sabah,” katanya dipetik laporan Berita Harian.
BACA LAGI: Program Tenaga Bersih Bersepadu jana pelaburan RM12 bilion, wujud 36,000 pekerjaan
Sim sebelumnya diminta mengulas gesaan Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen pada September lalu supaya pindaan dibuat terhadap Ordinan Buruh Sarawak demi menjamin pekerja Sarawak menikmati hak dan manfaat seperti mana di Semenanjung.
Beliau berkata, ordinan itu merupakan undang-undang persekutuan dan perlu dipinda di Dewan Rakyat, namun hal ehwal buruh di bawah bidang kuasa negeri, autonomi yang dinikmati Sarawak.
Sementara itu tambah Sim, pihaknya dan kerajaan Sarawak kini pada peringkat perbincangan berhubung usaha untuk meminda Ordinan Buruh Sarawak itu.
“Minggu lalu Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Gerawat Gala mengadakan pertemuan dengan kami untuk berbincang isu itu dan beliau akan membawa hasil perbincangan kepada Kabinet Sarawak.
“Saya yakin dengan kerjasama dan hubungan rapat antara KSM dengan kerajaan Sarawak, kita dapat mencapai kata putus untuk melaksanakan pindaan Ordinan Buruh Sarawak dalam masa terdekat,” jelasnya.