KKM laksana projek rintis, lanjut waktu operasi klinik kesihatan terpilih
Projek rintis melanjutkan waktu operasi klinik kesihatan di klinik berdekatan hospital bakal dilaksana Kementerian Kesihatan (KKM) mulai 25 Mac ini.
Menerusi satu kenyataan KKM menjelaskan, langkah itu dilakukan setelah mengambil kira isu kesesakan di hospital termasuklah di negeri Selangor, di mana kerajaan menerusi Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) bersetuju untuk mereka melaksanakan projek rintis berkenaan.
Projek rintis itu yang akan dilaksana sehingga 31 Disember 2023 itu akan dijalankan di klinik kesihatan terpilih.
“Projek rintis melalui pemanjangan waktu operasi klinik kesihatan yang berdekatan dengan hospital terlibat seperti berikut; Klinik Kesihatan Bandar Botanik, Klang (yang berdekatan dengan Hospital Tengku Ampuan Rahimah); Klinik Kesihatan Taman Ehsan, Gombak (yang berdekatan dengan Hospital Selayang); dan Klinik Kesihatan Ampang, Hulu Langat (yang berdekatan dengan Hospital Ampang),” jelas kenyataan itu.
Sebagai rekod, penyampaian perkhidmatan di klinik kesihatan, waktu operasi adalah mengikut waktu bekerja pejabat.
Manakala bagi klinik yang terpilih untuk melaksanakan perkhidmatan secara extended hours (EH), waktu operasi dilanjutkan selepas waktu bekerja pejabat hingga 9.30 malam serta pada hari Sabtu mulai 9.00 pagi hingga 1.00 petang.
BACA LAGI: Kerajaan Sabah bakal sedia khidmat pemeriksaan kesihatan percuma untuk rakyat
Sementara itu KKM memaklumkan, bagi tempoh pelaksanaan projek rintis itu, pegawai perubatan yang bertugas pada hari Ahad telah diberi kelulusan khas secara bertempoh dalam projek rintis bagi membolehkan elaun lokum dibayar sekiranya mereka diarah bertugas secara lokum.
Selain itu pegawai farmasi dan juru X-ray dalam kumpulan pengurusan dan profesional juga diberi pemanjangan elaun lokum pada kadar yang berbeza.