Nasional

Kerajaan sentiasa bersedia hadapi cuaca panas, kering serta fenomena El Nino – Nik Nazmi

Kerajaan mengambil beberapa langkah dalam menghadapi perubahan cuaca panas dan kering serta fenomena El Nino susulan fasa terakhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga penghujung Mac ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, antara perkara yang dipersetujui untuk dilakukan adalah kementerian, jabatan, agensi dan kerajaan negeri perlu sentiasa peka dengan perubahan cuaca dan kualiti udara negara.

Katanya, maklumat tersebut boleh dicapai melalui aplikasi myCuaca dan laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia, aplikasi MyIPU dan portal APIMS Jabatan Alam Sekitar.

“Kementerian, jabatan dan agensi berkaitan akan mengambil tindakan sebagaimana yang digariskan dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan berdasarkan Tahap Amaran dan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU).

“Jabatan dan agensi terlibat perlu sentiasa bersedia melaksanakan pemadaman kebakaran berskala besar secara serta-merta dan Operasi Pembenihan Awan sekiranya diperlukan tertakluk kepada keadaan atmosfera yang sesuai.

“NRES dengan kerjasama kementerian, jabatan, agensi dan kerajaan negeri akan mengambil tindakan
‘whole of government approach’ bagi membanteras kebakaran tapak pelupusan sampah haram serta menambahbaik tindakan pencegahan kebakaran hutan dan belukar tanah gambut yang menyebabkan jerebu tempatan, menjejaskan kualiti udara negara serta kesihatan awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Negara kini berada dalam fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga penghujung bulan depan.

Dalam fasa ini, taburan hujan akan berkurangan yang menyebabkan keadaan cuaca panas dan kering.

Mengulas lanjut, menurut Nik Nazmi, kerajaan akan memperkemas strategi, mengukuhkan kerjasama pelbagai hala di peringkat ASEAN melalui penglibatan aktif dalam siri mesyuarat di bawah Perjanjian ASEAN mengenai Jerebu Merentas Sempadan pada Jun dan Oktober ini.

NRES juga ujarnya, akan meneroka peluang mewujudkan kerjasama dua hala bersama negara jiran bagi menangani isu jerebu merentas sempadan.

“NRES sedang meneliti mekanisme terbaik yang merangkumi langkah-langkah jangka masa pendek dan jangka masa panjang serta keperluan penggubalan instrumen perundangan bagi menangani masalah jerebu merentas sempadan secara efektif dan holistik.

“Perkara ini akan dilihat secara menyeluruh dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk keberkesanan dan kebolehlaksanaannya,” katanya.

Related Articles

Back to top button