Semasa

Kerajaan komited perangi perlombongan haram REE – Nik Nazmi

Kerajaan sentiasa komited memerangi aktiviti perlombongan haram unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE)

Menteri Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terbabit.

“Kita juga bekerja sama erat dengan kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan unsur nadir bumi ini dilakukan dengan lestari dan selari dengan dasar-dasar yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau serta Produk Eko-Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2024 yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada Isnin.

Kenyataan itu menyusul titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah baru-baru ini yang menggesa agar tindakan tegas diambil terhadap pengawai penguat kuasa yang bersekongkol dengan aktiviti pelombongan haram NR-REE.

Baginda menegaskan, aktiviti perlombongan haram NR-REE yang tidak terkawal dan tidak mengikut garis panduan berpotensi memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan kesihatan masyarakat selain akan menyebabkan ketirisan hasil negeri.

Justeru pegawai penguat kuasa yang bersekongkol haruslah disiasat segera tanpa sebarang kompromi, titah baginda.

BACA LAGI: Dasar tangani perlombongan haram REE bakal diwujudkan elak negara rugi

Terdahulu pada Disember, media melaporkan seramai 31 individu termasuk 21 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan aktiviti penerokaan bahan mentah NR-REE secara haram di Hutan Simpan Bintang Hijau, di Hulu Perak.

Selain aktiviti penerokaan NR-REE, media pada 2020 pernah melaporkan berlaku kegiatan mencuri hasil hutan di kawasan tersebut.

Related Articles

Back to top button