Ahli Parlimen pembangkang keluar Dewan bantah PM Anwar ucap tahniah kepada Agong
Ahli Parlimen pembangkang hari ini bertindak keluar dari Dewan Rakyat selepas Speaker, Tan Sri Johari Abdul membenarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengucapkan tahniah kepada Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 negara pada sebelah petang.
Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin bangkit membantah sewaktu Anwar memberikan ucapan, dengan memaklumkan ia sepatutnya dilakukan lebih awal pada permulaan persidangan Dewan Rakyat pagi ini.
Hamzah menyifatkan ia sebagai suatu yang luar biasa memandangkan ia tiada dalam aturan mesyuarat dan ianya dilakukan bukan pada waktu yang sesuai.
“Pencadang dah cakap semua, tiba-tiba tengah-tengah berhenti nak cakap terima kasih fasal apa.
“Jangan buat di luar sana nampak kita bangkang sahaja. Bukan nak bangkang tetapi ikut peraturan yang ada. Esok (Ahli Parlimen) Tambun nak gulung habis, tak apa,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar meneruskan ucapannya itu dan berkata memohon membuat ucapan itu pada sesi petang Dewan Rakyat.
“Kalau nak cakap terima kasih kepada mantan Agong setelah akhir sidang itu, tak munasabah. Sepatutnya dibuat pagi tadi saya setuju.
“Tetapi untuk pembangkang bantah, (ini) menunjukkan sikap tidak sopan dan tidak hormati institusi Agong,” kata Anwar, yang menyifatkan tindakan Ahli-Ahli Parlimen pembangkang itu sebagai bermotifkan ‘dendam kesumat’ dan ‘cemburu buta’.
Anwar memberitahu Ahli Parlimen bahawa beliau tidak boleh berbuat demikian pada waktu pagi kerana mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet yang sedang dalam lawatan rasmi ke Malaysia.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim digantung selama empat hari menghadiri persidangan Dewan Rakyat.