Kerajaan secara prinsip setuju laksana tahanan di rumah kepada banduan – Saifuddin
Kerajaan secara prinsip bersetuju untuk memulakan Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) menerusi tahanan di rumah (home detention) kepada banduan yang menjalani hukuman empat tahun dan ke bawah sebagai usaha mengurangkan kesesakan penjara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini dalam proses meneliti kaedah pelaksanaan inisiatif itu daripada sudut peruntukan undang-undang berkaitan bagi memastikan sama ada akta serta peraturan sedia ada perlu digubal atau tidak.
“Perlu disemak apakah ia memadai dengan meminda undang-undang sedia ada atau ada keperluan untuk gubal undang-undang baharu di bawah kuasa Ketua Pengarah Penjara atau Menteri KDN.
“Saya tugaskan Ketua Setiausaha KDN (Datuk Ruji Ubi) untuk buat semakan dan beri maklum balas… perkara ini mesti disegerakan,” katanya.
Menurutnya, penghuni penjara yang terlibat bagi program berkenaan terdiri daripada individu yang berpenyakit kronik, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan ibu mengandung.
“Kalau yang disabitkan kesalahan itu melibatkan mereka daripada kategori ini, kita lihat adalah lebih manusiawi kalau letak mereka di luar dan bukan dalam tembok (penjara) jadi untuk itu mereka boleh kita pasangkan gajet kepada mereka untuk kita laksanakan ‘home detention’,” katanya.
Saifuddin berkata, menerusi program sedemikian seperti Sistem Parol, Perintah Kehadiran Wajib serta Program Pemulihan Pemasyarakatan, kerajaan bukan sahaja dapat menangani masalah kesesakan penjara malah ia sebagai langkah penjimatan kepada negara.
Katanya, program yang telah dijalankan sebelum ini memberi impak positif dengan statistik menunjukkan daripada 800 yang dibebaskan, hanya seorang yang dimasukkan semula ke dalam penjara.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Penjara ke-234 yang bertemakan ‘Reformasi Koreksional Membangun Peradaban’ di Kompleks Penjara Puncak Borneo, Sarawak, hari ini.
Acara dimulakan dengan upacara Hormat Menteri dan Pemeriksaan Perbarisan oleh Saifuddin dan seterusnya upacara Pemakaian Pangkat Kehormat, Pemakaian Pingat Johan Bakti Setia (JBS).
Turut hadir Ketua Setiausaha KDN, Datuk Haji Ruji Ubi, Komisioner Jeneral Penjara Malaysia, Datuk Nordin Muhamad, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KDN, Dr Abdul Gapar Abu Bakar.