Keyakinan ADUN pembangkang terhadap Azmin Ali makin lemah – Danial Al Rashid
Ketua Pemuda Amanah Selangor, Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid menyifatkan keyakinan pembangkang terhadap kepimpinan Ketua Pembangkang, Mohamad Azmin Ali semakin melemah.
Pandangan itu dilontar susulan tindakan Adun Selat Kelang, Abdul Rashid Asari pada Khamis yang menyatakan sokongan serta merta kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
“Dengan sokongan dinyatakan Adun Selat Klang itu memperlihatkan betapa keyakinan pembangkang terhadap kepimpinan Ketua Pembangkang (Azmin) mula hilang.
“Penyertaan Abdul Rashid akan melonjakkan prestasi negeri serta memberikan manfaat yang baik untuk rakyat khususnya di Selat Klang,” katanya.
Abdul Rashid Asari sementara itu berkata, prestasi pembangkang di sidang DUN juga dilihat semakin lesu.
“Ketua Pembangkang kerap menimbulkan spekulasi dan tohmahan dalam dewan, sedangkan beberapa Ahli Dewan Pembangkang ingin turut serta dalam memberi pandangan serta hujah konstruktif untuk membangunkan negeri,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.
BACA LAGI: Sultan Selangor tegur gelar keputusan Mahkamah Persekutuan sebagai ‘Black Friday’
Abdul Rashid yang juga bekas pengerusi Bersatu Selangor ketika memaklumkan keputusannya untuk mengalih sokongan terhadap Amirudin berkata, ia setelah meneliti ucapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memuji pentadbiran kerajaan negeri.
Langkah mengalih sokongan itu juga susulan beberapa siri tindakan Perikatan Nasional terutamanya Perikatan Nasional Selangor yang dilihat berdiam diri terhadap tohmahan yang dilontar kepada Raja-raja Melayu.
“Ini adalah berlawanan dengan prinsip orang Melayu beragama Islam,” katanya.