Nasional

Program Jualan Agro Madani beri penjimatan RM7.87 juta kepada rakyat – Arthur

Program Jualan Agro Madani yang dilaksana di 1,227 lokasi di seluruh negara membabitkan 16,242 usahawan tempatan dari Januari hingga 3 Mac lepas telah memberikan penjimatan RM7.87 juta kepada rakyat.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, pada 2023, sebanyak 5,608 program Jualan Agro Madani yang menawarkan harga barangan 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding pasaran telah dilaksana di seluruh negara membabitkan 74,800 usahawan serta nilai jualan RM93.7 juta. 

“Karnival ini mampu meringankan kos sara hidup rakyat dengan membawa barangan keperluan serta produk agromakanan terus daripada petani, pengeluar dan pengusaha terus kepada pelanggan dan pembeli, dengan penjimatan sehingga 30 peratus.

“Karnival ini juga bantu para usahawan dan pengeluar tempatan meluaskan pasaran mereka serta meningkatkan penjanaan ekonomi masyarakat setempat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, beliau telah merasmikan Karnival Jualan Agro Madani Mega Sook yang julung kalinya diadakan di kawasan pedalaman Sabah pada Ahad.

“Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan seperti kursus, pertandingan masakan, pertandingan bakat dan banyak lagi untuk memeriahkan suasana karnival ini.

“Karnival jualan ini berjaya melibatkan lebih 100 usahawan tempatan dengan pelbagai jenis produk agromakanan keluaran tempatan negeri Sabah,” ujarnya.

Tambahnya lagi, kerajaan sentiasa mencari kaedah untuk meringankan kos sara hidup rakyat, meningkatkan ekonomi serta merapatkan hubungan di antara masyarakat.

Related Articles

Back to top button