Semasa

Berlaku lambakan ikan, sepatutnya harga murah – Pengerusi LKIM

Golongan peniaga diingatkan agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga ikan sewenang-wenangnya sepanjang Ramadan ini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, ketika ini berlaku lambakan bekalan ikan selepas berakhirnya musim Monsun Timur Laut sekali gus menbolehkan nelayan turun ke laut dengan selamat.

“Memang sekarang ini musim ikan tengah banyak, jadi rezeki nelayan pun tengah murah. Kalau kita pergi ke pelabuhan besar contohnya di Kuantan (Pahang), sampai berlaku lambakan.

“Sepatutnya dengan bekalan ikan yang banyak itu, harga ikan murah. Jadi, saya tekankan kepada peniaga supaya jangan sewenang-wenangnya menaikkan harga ikan sehingga membebankan pengguna,” katanya.

Muhammad Faiz sebelumnya ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan persekolahan Program Madani Anak Nelayan Kembali ke Sekolah LKIM-BHPetrol di Sungai Sumun, Bagan Datuk pada Sabtu.

BACA LAGI: Selangor bakal anjur Jualan Ehsan Rahmah sempena Aidilfitri

Dalam isu tersebut, Muhammad Faiz mengharapkan pemantauan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup agar harga ikan di pasaran terus terkawal dan stabil.

Perkara itu jelasnya selari dengan komitmen dan agenda Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang mahu kesejahteraan rakyat terpelihara.

Sementara itu, Muhammad Faiz turut berkata, LKIM turut memberi jaminan bekalan ikan di pasaran seluruh negara adalah mencukupi di pasaran sepanjang Ramadan dan Aidilfitri nanti.

Related Articles

Back to top button