Nasional

KPM umum inisiatif intervensi kurikulum tangani isu keciciran pembelajaran murid sekolah rendah

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan inisiatif intervensi kurikulum bagi menangani isu keciciran pembelajaran dalam kalangan murid sekolah rendah.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata, intervensi tersebut dilakukan kerana kurikulum bersifat dinamik dan progresif hingga memerlukan proses penambahbaikan dari semasa ke semasa untuk kekal relevan.

Empat intervensi kurikulum yang bakal dilaksanakan termasuk Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3, pengesanan awal literasi dan numerasi, pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang mesra ibu bapa dan penataran Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3.

Menerusi kenyataan, intervensi pertama iaitu Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3 melibatkan pengemaskinian dan penyusunan semula kandungan mata pelajaran Sains dan Matematik Tahap 1 sedia ada.

“Mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris juga akan menyusul dalam masa terdekat.

“Intervensi kedua pula merupakan pengesanan awal literasi dan numerasi bagi murid Tahun 1 yang bertujuan untuk mengenal pasti murid yang belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira serta memerlukan intervensi awal.

“Pengesanan awal adalah melalui PBD yang dilaksanakan setelah murid mengikuti persekolahan selama tiga bulan,” kata kenyataan oleh KPM.

Intervensi ketiga memfokuskan kepada pelaporan PBD yang mesra ibu bapa yang dipermudahkan untuk memantau tahap penguasaan Ujian Akhir Sesi Akademik bagi semua mata pelajaran akan ditukar dalam bentuk peratus dan gred.

Pelaporan PBD ini boleh diakses oleh ibu bapa secara dalam talian melalui Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu.

Intervensi terakhir pula ialah penataran Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3 yang akan disebarkan kepada semua guru mata pelajaran Sains dan Matematik sekolah rendah melalui penganjuran bengkel dan latihan.

Dengan pelaksanaan intervensi ini, KPM turut meminta maklum balas daripa ibu bapa untuk menambahkan pembangunan kurikulum anak-anak mereka di sekolah.

Related Articles

Back to top button