Semasa

Niosh akan tingkat kesedaran keselamatan dalam bidang TVET, ekonomi gig

Aspek Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (KKP) di tempat kerja dalam kalangan pekerja muda terutama yang terlibat dengan bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta ekonomi gig perlu dipertingkat.

Naib Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh), Manivanan Gowin berkata, ia memandangkan individu terlibat dalam sektor itu semakin meningkat setiap tahun.

“Dilaporkan graduan TVET memiliki peluang pekerjaan yang cerah dalam industri termasuk kebolehpasaran yang melebihi 92 peratus.

“Inisiatif khusus untuk pekerja gig dan graduan TVET ini penting bagi membantu kerajaan mencapai sasaran yang ditetapkan di bawah Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2021-2025 (OSHMP25),” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, usaha mendidik mengenai kepentingan KKP membabitkan pelajar TVET lebih mudah dilaksanakan melalui kerjasama antara Niosh dan institusi pengajian berkaitan.

Bagaimanapun usaha sama membabitkan pekerja gig adalah lebih mencabar kerana masih ramai antara mereka bekerja sendiri atau melakukan pekerjaan secara sambilan.

“Namun kita yakin Niosh mampu mendekati pekerja gig dan juga graduan TVET melalui pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang amat prihatin dengan kebajikan mereka,” katanya.

Manivanan berkata demikian selepas menghadiri taklimat yang diberikan oleh Pengarah Eksekuktif Niosh, Ayop Salleh di ibu pejabat Niosh, di Bangi.

BACA LAGI: MARA rancang perluas program TVET Tahfiz

Beliau sementara itu berkata, usaha meningkatkan kesedaran dan kemahiran berkaitan KKP dalam kalangan pelajar TVET akan dipertingkatkan melalui kerjasama di antara Niosh dan lebih banyak institusi pengajian TVET di seluruh negara.

Ia selaras pengumuman Perdana Menteri pada penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) di Putrajaya baru-baru ini mengenai penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig bagi melindungi hak 1.12 juta pekerja gig, dengan tumpuan memenuhi keperluan sosial, menyelesaikan pertikaian kontrak dan mendorong kemajuan kerjaya golongan berkenaan.

Justeru tambah Manivanan, sebagai seorang peguam dan juga bekas Ahli Parlimen beliau akan menggunakan pengalaman dan hubungan baik beliau dengan pelbagai pihak untuk membantu Niosh meningkatkan kesedaran mengenai KKP dalam kalangan pekerja gig dan juga graduan TVET.

Related Articles

Back to top button