Jadikan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah sebagai iktibar – YADIM
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mengajak semua pihak menjadikan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah sehingga mencetus polemik dan kemarahan ramai sebagai iktibar .
Yang Dipertuanya, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus, berkata pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu terus bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati cuba memperbesar isu berkait 3R (raja, agama dan kaum).
“Ketegasan kita serta PDRM terhadap mereka yang melanggar undang-undang terutama yang menyentuh 3R tidak boleh untuk bertolak ansur lagi. Semangat untuk memujuk, mendidik dan mendesak orang ramai juga mesti berterusan.
“YADIM menggunakan pendekatan dakwah iaitu kita cuba mendidik masyarakat supaya dapat memastikan (insiden ini) tidak boleh berlaku lagi. Mana-mana peniaga, mereka kena lihat sistem operasi perniagaannya.
“Supaya apa yang mereka lakukan, apa yang mereka niagakan, apa bentuk perkhidmatan yang mereka berikan tidak akan mencabar 3R ini,” katanya dipetik.
Sementara itu Hasanuddin turut berkata, pihaknya menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim supaya polemik dan isu berkaitan penjualan stoking ini tidak berterusan.
“Kita mendokong dan menjunjung titah baginda supaya apa-apa saja tindakan yang dilakukan, ia tidak seharusnya memanaskan keadaan dan serahkan kepada pihak berkuasa.
“Segala apa tindakan yang dibuat mesti berlunaskan dan tertakluk kepada undang-undang. Jadi, kita harus memberi kepercayaan penuh kepada PDRM dan pasukan pendakwaan. Proses itu kini sedang berjalan dengan cukup cantik,” katanya.
BACA LAGI: Hentikan kontroversi stoking kalimah ALLAH, titah Agong
Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini bertitah agar semua pihak tidak mengambil kesempatan mencetus permusuhan susulan isu sarung kaki (stoking) tertera kalimah Allah.
Melalui satu hantaran dimuat naik di akaun Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim berkata, isu yang menjadi kontroversi itu sudah dalam proses perundangan.