Semasa

KPM mula usaha tangani masalah sekolah padat

Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus memfokuskan langkah-langkah bagi menyelesaikan isu kepadatan pelajar di sekolah di seluruh negara.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata, untuk itu intervensi jangka pendek dan panjang telah dirangka dan akan dilaksana bagi memberi keselesaan dan suasana kondusif kepada pelajar.

Ia jelasnya akan melibatkan pembinaan dan penggunaan kabin di sekolah selain menyuraikan pelajar ke sekolah berdekatan supaya bilangan pelajar dapat dikawal dalam suasana kondusif untuk belajar sebagai langkah jangka pendek dan membina sokolah baharu sebagai langkah penyelesaian jangka panjang.

“Dalam belanjawan lepas, 26 sekolah baharu diluluskan untuk dilaksanakan dan kita harap dengan sekolah baharu itu akan dapat kurangkan kepadatan pelajar di sekolah dan anak-anak kita dapat belajar dalam suasana selesa.

“Bagi penggunaan kabin pula, ada beberapa sekolah kita dah kenal pasti dari segi kapasiti tapi ia hanya pendekatan jangka masa pendek dan bagi tempoh jangka masa panjang mereka harus bersekolah di bangunan sekolah yang kondusif untuk pembelajaran,” katanya.

BACA LAGI: PM gesa kementerian pastikan kelancaran projek kesihatan, sekolah daif di Sarawak

Fadhlina sebelumnya menghadiri Program Jaulah Ramadan KPM 2024 Peringatkat Negeri Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Acheh di sini, yang turut dihadiri Timbalannya Wong Kah Wong.

Mengenai Program Jaulah Ramadan, beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata ia satu usaha untuk menyemarakkan Ramadan dan meningkatkan takwa serta cakna warga KPM menerusi pelbagai aktiviti termasuk tadabbur al-Quran, iftar, solat tarawih dan moreh

Related Articles

Back to top button