Semasa

Pelaksanaan subsidi bersasar tak jejas pelaburan asing – Menteri MITI

Pelaksanaan subsidi bersasar yang dijadualkan bermula selepas suku kedua tahun ini tidak akan menjejaskan pelaburan asing dalam negara ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika memberi jaminan itu berkata, pelabur lebih mementingkan konsistensi dasar yang dilaksanakan negara bagi menentukan komitmen pelaburan mereka.

“Dari segi pelaburan asing, tidak ada kesan kerana pelabur akan melabur dalam jangka masa panjang.

“Tengok konsistensi polisi (dasar), contohnya sektor semikonduktor sudah bermula tahun 1970-an dan sudah 50 tahun (bertapak di Malaysia)… itulah fokus pelabur kita untuk melihat bagaimana dasar negara, jika konsisten mereka akan melabur,” katanya di Majlis Ihya’ Ramadan dan Iftar Perdana di Pasir Salak pada Ahad.

Mengulas lanjut beliau yakin Malaysia akan kekal menjadi lokasi pilihan pelabur susulan kos pengoperasian bagi syarikat asing di Malaysia masih dikategorikan rendah berbanding negara lain.

“Oleh itu, walaupun subsidi ini ditarik, syarikat-syarikat besar ini akan bandingkan negara kita dengan negara lain (dan) negara kita masih lagi efektif dari segi kos,” katanya.

BACA LAGI: Subsidi bersasar: Kerajaan tambah bayaran STR jika golongan rentan terkesan

Sebelum ini media melaporkan Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan RM329.5 bilion pada 2023 iaitu 23 peratus lebih tinggi berbanding 2022, sekali gus menjadikannya tertinggi dalam sejarah negara.

Daripada jumlah itu, pelaburan asing penyumbang utama sebanyak 57.2 peratus berbanding domestik iaitu 42 peratus.

Related Articles

Back to top button