Mesyuarat MTEN minggu depan akan bincang isu kejatuhan ringgit- Rafizi
Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang akan diadakan minggu depan akan membincangkan pelbagai isu termasuk mengenai kejatuhan ringgit Malaysia.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, MTEN akan membincangkan laporan ekonomi termasuk ekonomi makro dan struktur membabitkan semua kementerian dan agensi.
“Sudah pasti prestasi dan kebimbangan kerajaan akan dibincangkan di mesyuarat MTEN.
“Saya tidak mahu mendahului MTEN dalam memberikan pandangan yang berisiko memberi kesan kepada ekonomi.
“Setiap keputusan dasar atau prestasi ekonomi semasa perlu mengambil kira pandangan pihak berkepentingan lain contohnya Bank Negara Malaysia (BNM) untuk kadar dasar semalaman (OPR),” katanya di Kuala Lumpur pada Selasa.
Mengulas lanjut mengenai prestasi ringgit semasa Rafizi berkata, beberapa faktor utama mempengaruhi ringgit ketika ini membabitkan tekanan global seperti kadar faedah Rizab Persekutuan.
“Selain itu, situasi ekonomi China sama ada dapat menjangkakan pertumbuhan atau tidak juga memberikan kesan kepada ringgit.
“Jadi, ada pelbagai perkembangan yang bukan dalam kawalan kita,” jelas Ahli Parlimen Pandan itu.
Rafizi sebelumnya melancarkan Innovathon – pertandingan realiti berteraskan sains, teknologi dan inovasi, Innovathon.
Pertandingan dilancarkan dengan kerjasama MOSTI dan Kementerian Ekonomi serta Astro itu memaparkan skil dan idea inovatif dalam kalangan rakyat Malaysia bagi mencari penyelesaian isu sosiekonomi
Pemenang pertama bakal membawa pulang wang tunai RM100,000, tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima RM80,000 dan RM50,000 manakala tempat keempat dan kelima menerima RM10,000 dan RM5,000.
Kelima-lima pemenang ini juga akan menerima sokongan pembangunan perniagaan mengikut kesesuaian dan skala perniagaan mereka bernilai sehingga RM1 juta.