ekonomi

MAICCI sambut baik pengumuman dana khas untuk bantu usahawan wanita India

Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) menyambut baik pengumuman dana khas RM50 juta yang diperuntukkan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) kepada usahawan wanita India menerusi Program Prosperity Empowerment and a New Normal For Indian Women (Penn).

Ketua Unit Sayap Wanitanya, S. Hemala berkata dana itu merupakan satu pengiktirafan kepada perjuangan usahawan wanita India di Malaysia selama ini.

Beliau menyatakan keyakinan dana itu yang diumumkan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ramanan Ramakrishnan pada Sabtu lalu itu akan berjaya memperkasakan dan menjamin masa depan kumpulan sasaran.

“Ramai wanita India memerlukan sokongan, kerjasama, panduan dan juga dana untuk memajukan perniagaan. Ramai juga dalam kalangan mereka yang mahu perniagaan diperkasakan ke satu tahap yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan.

Ramanan ketika mengumumkan dana khas itu berkata, inisiatif itu selaras dengan usaha merealisasikan hasrat dan harapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu memastikan tidak ada rakyat tercicir dalam usaha pembangunanan negara.

Ia dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 7,100 Sahabat Usahawan India yang baharu dan meningkatkan jumlah penerima manfaat Skim Pinjaman Ikhtiar AIM kepada 10,200 orang termasuk 3,100 Sahabat Usahawan sedia ada.

BACA LAGI: AIM umum dana khas RM50 juta untuk perkasakan usahawan wanita India

Sementara itu Hemala berkata MAICCI sedia membantu Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta AIM untuk menjayakan program PENN melalui kerjasama strategik khususnya dengan mengadakan kempen kesedaran.

“Saya yakin lebih ramai usahawan wanita dapat dilahirkan melalui program ini yang sudah tentunya akan memberikan impak yang cukup berkesan untuk pembangunan ekonomi negara,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button