Usaha KPKM tanam bawang merah kurang kebergantungan kepada import – FAMA
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan memainkan peranan proaktif dalam memastikan bekalan bawang merah tempatan dapat diperoleh dengan mudah oleh pengguna.
Ketua Pengarah Fama Abdul Rashid Bahri berkata, pihaknya akan melaksana program intervensi yang memberi tumpuan kepada pemasaran bawang merah tempatan yang ditanam di kawasan ditentukan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Pemasaran itu jelasnya akan melibatkan pelbagai program antaranya Jualan Agro Madani, outlet pemasaran KPKM dan jualan portal Agrobazaar Online.
“Pada peringkat permulaan ini, Fama telah menyasarkan jualan bawang tempatan itu melalui promosi Kombo Madani sempena program Jualan Agro Madani yang akan diadakan di 5,000 lokasi seluruh negara,” katanya dalam kenyataan.
BACA LAGI: Usaha tanam bawang tempatan mula nampak hasil
Selain itu, beliau berkata pihaknya turut menjangkakan komoditi itu akan meningkat pada penghujung tahun ini, selaras dengan peningkatan tanaman bawang tempatan di seluruh negara.
Usaha KPKM terhadap penanaman bawang merah tempatan akan meningkatkan lagi bekalan bawang di pasaran, seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada import pada masa hadapan.