Komen jelik terkait insiden nahas helikopter TLDM, peniaga didenda RM23,000
Mahkamah Sesyen Taiping mendenda seorang peniaga dalam talian RM23,000 selepas mengaku bersalah membuat hantaran jelik mengenai mangsa nahas dua helikopter terhempas di Lumut, Perak pada Selasa lalu.
Muhammad Saifuddin Shafik, 36, turut memohon maaf secara terbuka kepada ahli keluarga mangsa, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan orang awam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu di depan Hakim Nabisha Ibrahim.
“Secara tulus ikhlas, saya mohon maaf kepada semua ahli keluarga mangsa dan anggota tentera,” kata Saifuddin menurut Sinar Harian.
“Saya memang amat menyesal dengan tingkah laku saya. Di sini saya (juga) ingin memohon maaf secara tulus ikhlas kepada mana-mana orang awam dan seluruh rakyat Malaysia amnya yang terkesan dengan ‘posting’ saya,” katanya.
Tambahnya, hantaran itu tidak wajar dilakukan sesiapapun dalam keadaan tragedi sedemikian.
Hakim turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan, jika gagal membayar RM23,000. Tertuduh kemudian membayar denda itu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a)(ii) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Ia memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Sementara itu, di luar mahkamah, peguam Mohd Hafarizam Harun dan Amin Othman yang mewakili tertuduh berkata, anak guamnya membuat aku janji di mahkamah akan menyahaktifkan akaun X bagi mengelakkan perkara sama berulang.
“Dia telah mengambil iktibar dan pengajaran. Jadi, anak guam saya memohon suatu penutupan ke atas kemelut dan isu ini,” katanya.
Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siastan terhadap Saifuddin Shafik berhubung komen jelik berkenaan insiden kemalangan melibatkan dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerusi hantaran di platform X.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata siasatan telah dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.