SPRM pastikan agenda pemantapan tatakelola, penginstitusian integriti jadi asas utama
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memastikan agenda pemantapan tatakelola serta penginstitusian integriti menjadi asas utama selain siasatan kes jenayah rasuah yang menjadi tugas agensi itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata ia selari dengan hala tuju perubahan atau ‘game changer’ seperti ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Isu-isu tatakelola ini meliputi pelbagai perkara, bukan sahaja integriti atau isu-isu penyelewengan serta rasuah malah kelemahan tatakelola dalam pentadbiran seperti yang telah ditekankan Perdana Menteri.
“Dalam hal ini, Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) SPRM terus menerajui enam fungsi utama dalam mengambil alih peranan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) sebelum ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Media SPRM 2023 di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Beliau berkata, BPGN berperanan untuk menasihati kerajaan dan melaporkan perkembangan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) kepada Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikan Perdana Menteri.
Katanya pembangunan NACS melibatkan tindakan penyelarasan input dan maklum balas daripada pelbagai pemegang taruh bagi menggariskan hala tuju dan komitmen negara untuk tempoh lima tahun bermula tahun ini hingga 2028.

Sementara itu Azam berkata, SPRM turut bergantung kepada media bagi memastikan segala informasi dan mesej antirasuah sampai ke setiap lapisan masyarakat di negara ini termasuk di agensi kerajaan, swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pusat pendidikan.
Beliau berkata ketika ini, media arus perdana masih merupakan sumber utama dan perlu diyakini berbanding media sosial kerana kelompok media arus perdana terdiri daripada kumpulan pengamal media yang profesional, terlatih, berlesen dan berautoriti.
“Jadi penyampaian berita yang dihasilkan itu berpandukan kepada sumber yang sahih dan media arus perdana turut memainkan peranan yang signifikan dalam menangkis penularan berita-berita palsu yang disebarkan di media sosial,” katanya.