IDE yakin PH kekal kemenangan di PRK Kuala Kubu Bharu
Badan penyelidikan Institut Darul Ehsan (IDE) menyatakan keyakinan Pakatan Harapan (PH) bakal mengekalkan kemenangan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.
Keyakinan itu dinyatakan Pengerusi Eksekutifnya, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berdasarkan daripada kajian yang telah dijalankan.
Diperik laporan media, Mohammad Redzuan berkata, peluang untuk calon mewakili Kerajaan Perpaduan memenangi kerusi DUN itu cukup ketara berdasarkan sokongan pengundi di kawasan terbabit.
Bagaimanapun, katanya, calon dan jentera PH perlu bekerja keras bagi mengekalkan momentum sedia ada bagi menarik sokongan pengundi.
PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas.
PH mempertaruhkan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao mewakili Kerajaan Perpaduan, dicabar pemangku Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut mewakili PN.
PRM diwakili Hafizah Zainuddin dan Nyau Ke Xin bertanding atas tiket Bebas.
Sementara itu Mohammad Redzuan percaya isu kaum yang dijangka dimainkan pihak tertentu bagi meraih undi tidak memberi kesan besar kepada PRK tersebut.
BACA LAGI: Calon kerajaan komited bela kebajikan belia dan wanita
Dalam konteks Malaysia pada masa ini jelasnya, rakyat semakin matang untuk membuat penilaian.
“Apa yang penting bagaimana pengundi perlu maju ke hadapan dengan kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari diterima seluruh masyarakat dan yakin ini akan membantu memenangkan calon PH di DUN Kuala Kubu Baharu,” katanya.