Negeri

Selangor sasar noktahkan miskin tegar selewat-lewatnya Julai ini – Menteri Besar

Kerajaan Negeri Selangor menyasarkan untuk menoktahkan kemiskinan tegar dalam kalangan masyarakat seiring usaha Kerajaan Perpaduan.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pentadbirannya menyasarkan usaha itu dapat dijayakan selewat-lewatnya pada Julai ini.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan mahu menoktahkan miskin tegar dan sejak lebih setahun usaha itu, sebanyak 88 peratus berjaya turunkan biarpun tidak mencapai angka ‘zero’.

“Kita akan berusaha kurangkan kadar miskin tegar biarpun ada pihak yang gelak dan mengatakan ia mustahil,” jelasnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, berdasarkan taklimat yang diterima daripada Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Selangor sejumlah 861 keluarga masih berada dalam kategori miskin tegar.

Justeru pelbagai inisiatif akan dilaksana bagi menaik taraf kehidupan rakyat termasuklah melalui Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS).

“Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah diarahkan untuk menyalurkan lebihan dana BINGKAS, membabitkan pemberian bantuan sebanyak RM300 sebulan kepada golongan berkenaan.

“Jadi, saya percaya dengan pemberian bantuan RM300 itu dicampur dengan zakat sebab (dalam jumlah senarai miskin tegar itu) kita ada 500 lebih masyarakat Melayu dan selebihnya bukan Melayu yang akan dapat kita tangani,” katanya pada program walkabout di Kuala Kubu Bharu.

BACA LAGI: 6,000 bakal haji muassasah di Selangor terima intensif RM500 setiap seorang

Januari lalu, Anwar menyuarakan keyakinan bahawa isu miskin tegar di Selangor dapat diuruskan dengan baik dan mampu diselesaikan di bawah kepimpinan kerajaan sedia ada.

Menurutnya, masalah itu dapat diuruskan susulan hasil (pendapatan) negeri itu baik.

Related Articles

Back to top button