Semasa

Kerajaan teruskan inisiatif FLYsiswa, ringankan kos penerbangan pelajar

Kerajaan MADANI menyambung semula inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk pelajar institut pengajian tinggi awam bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan (FLYsiswa) berkuat kuasa semalam.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam satu kenyataan berkata, pelajar yang bekelayakan terdiri daripada universiti awam, politeknik dan kolej komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru (IPG) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Menurut MOT, bagi fasa pertama ini, pelajar yang berkelayakan adalah mereka yang mendaftar di institusi masing-masing sehingga 31 Disember 2023 lalu.

“Bagi pelajar baharu bagi sesi kemasukan 1 Jan sehingga 31 Mac ini, ia akan dilaksanakan dalam fasa kedua mulai Julai depan,”menurut kenyataan itu sambil menyarankan pelajar membuat semakan melalui laman sesawang https://subsidiudara.mot.gov.my/.

Insiaitif FLYsiswa diperkenal pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan bagi mengurangkan beban kewangan pelajar kurang berkemampuan yang ingin pulang ke kampung.

Pada pembentangan Belanjawan 2024, beliau yang juga Menteri Kewangan mengumumkan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan itu akan diteruskan pada tahun ini dan akan memanfaatkan kira-kira 60,000 pelajar termasuk pelajar baharu IPTA.

Melaluinya, pelajar yang layak akan diberikan baucar digital bernilai RM300 sebagai credit shell untuk membeli tiket penerbangan, dan sekiranya harga tiket yang dibeli kurang daripada RM300, baki baucar digital akan kekal dalam credit shell dan boleh digunakan untuk pembelian tiket seterusnya.

BACA LAGI: Kerajaan buktikan keperihatinan melalui subsidi penerbangan musim perayaan

“Tempoh permohonan baucar untuk pembelian tiket penerbangan adalah dari 2 Mei hingga 30 Nov ini, manakala baucar tersebut boleh ditebus untuk pembelian tiket penerbangan sehingga 31 Dis ini.

“Pembelian tiket penerbangan untuk perjalanan selepas tarikh akhir penebusan baucar adalah dibenarkan,” menurut kenyataan itu lagi.

Sementara itu MOT berkata, sekiranya pelajar didapati tidak layak, mereka masih dibenarkan merayu kepada KPT atau KPM melalui institusi pendidikan masing-masing.

Related Articles

Back to top button