Malaysia perlu bersedia bina asas kekuatan dalaman lebih kukuh – PM Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui berlaku kelesuan dalam kalangan pemimpin negara Islam bagi menyuarakan pendirian menghalang penindasan berterusan rejim Zionis terhadap warga Palestin.
Pada ucapan di Majlis Perkampungan Sunnah Siri Kesembilan di Masjid Alwi, Kangar malam tadi, Anwar melahirkan rasa kecewa kerana dunia Islam seolah-olah hilang upaya dan kekuatan bagi menghentikan kerakusan Zionis Israel yang didukung negara Barat.
“Saya tidak mewakili negara besar. Saya mewakili negara sederhana dengan kekuatan ekonomi sederhana, tetapi saya tidak boleh lihat kelesuan ini dan terus mengizinkannya.
“Sebab itu, saya terima ini untuk berdepan dalam menyatakan pandangan dan pendirian umat Islam dan majoriti rakyat Malaysia yang berasa hampa dan mengecam kezaliman berterusan,” katanya merujuk kritikan kerasnya terhadap negara pendokong Israel baru-baru ini.
Mengulas mengenai Malaysia, Anwar berkata, perubahan dalam cara pemikiran dan kefahaman umat Islam perlu dilakukan dalam mengatasi kelesuan itu.
Semua pihak tegasnya perlu bangkit dari kealpaan dan kecuaian dan bersedia meletakkan asas negara yang lebih kukuh.
BACA LAGI: PM Anwar seru negara Arab, Islam tegas tuntut keadilan untuk Palestin
“Malaysia berada di landasan betul untuk melakukan perubahan, kita tidak boleh kekal dan selesa pada tahap lama, baik dari tahap pemikiran, kefahaman, sikap kerana kesediaan kita meletakkan asas lebih kukuh.
“Tidak perlu melihat sejarah lama, tetapi lihat sejarah kini negara Islam yang lesu tidak ada kekuatan, hilang keberanian melontarkan kefahaman dan mempertahankan anak kecil dan wanita yang disepak terajang dan dibunuh kerana kita tidak ada kekuatan dalaman,” katanya.