Teknologi

Umat Islam perlu kuasai, tentukan nilai AI dalam negara – PM Anwar

Umat Islam yang mempunyai kepakaran dalam bidang kecerdasan buatan (AI) mempunyai peranan besar dalam memastikan perisian teknologi itu menepati nilai agama, akhlak dan budaya negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat di negara ini menguasai bidang kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan nilai-nilai tersebut terus terpelihara.

“Kalau kita tidak kuasai AI, yang akan tentukan (teknologi itu) adalah orang lain iaitu orang asing, orang Barat, jadi kita harus kuasainya supaya nilai AI itu kita tentukan,” katanya ketika berucap pada Perkampungan Sunnah Siri ke-9 di Masjid Alwi, di Kangar malam tadi.

Mengulas lanjut Anwar berkata, pada pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft Satya Nadella baru-baru ini, beliau telah membangkitkan persoalan mengenai nilai, agama, budaya dan akhlak masyarakat negara ini yang enggan dicorakkan mengikut acuan AI barat.

Beliau berkata Satya menjelaskan bahawa perkara itu terpulang kepada rakyat Malaysia yang perlu menguasai dan menentukan sendiri perisian AI mengikut iklim serta persekitaran di negara ini.

“Ini seperti komputer juga dulu, ada orang menentang kerana ada pornografi, yang kita tidak terlawan, jadi kita mesti bina kekuatan dalaman supaya dapat menolak kebejatan itu,” jelasnya.

BACA LAGI: Microsoft umum pelaburan terbesar bernilai RM10.5 bilion di Malaysia

Beliau pada masa sama berkata, penguasaan AI dalam negara perlu terus dipertingkatkan termasuk memupuk minat pelajar dalam bidang matematik dan sains.

“Namun, kenyataan di Malaysia sekarang, minat anak Melayu terutama dalam bidang sains dan matematik menurun dengan kita juga kekurangan jurutera kira-kira 30,000 orang,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button