Umum

Kasih sayang insan bergelar ibu tiada tandingan – Nancy

Sambutan Hari Ibu merupakan platform penting menghargai kepentingan ibu sebagai pendokong utama kesejahteraan keluarga.

Justeru sempena sambutan Hari Ibu tahun ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mengajak semua untuk meraikan setiap insan yang menjiwai semangat keibuan.

“Ayuh kita berterima kasih kepada mereka atas kasih sayang yang dicurahkan, yang sering meletakkan diri mereka di belakang untuk memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi.

“Kerana, tiada apa yang dapat menggantikan kasih sayang seorang ibu.

“Selamat Hari Ibu kepada semua insan yang mengasuh dan mengambil berat terhadap orang lain dalam setiap bentuk dan dalam setiap cara. Terima kasih, ibu,” katanya menerusi hantaran sempena Hari Ibu di Facebook rasminya, hari ini.

Jelasnya, ibu bukan sahaja seorang wanita yang melahirkan anak, namun definisi seorang ibu adalah lebih mendalam daripada itu.

“Ibu adalah lambang keselesaan, bimbingan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi tanpa mengira usia mahupun asal usul.

“Seorang ibu boleh menjadi sesiapa sahaja yang memenuhi peranan sebagai pengasuh, memberi sokongan, pembelajaran atau pengajaran dan keselamatan.

“Bahkan mungkin terdiri daripada guru yang mendidik kita, seorang mentor yang membentuk minda kita dan sesiapa sahaja yang membentuk watak kita,” ujarnya.

Tambah Ahli Parlimen Santubong itu lagi, insan bernama ibu datang dalam pelbagai bentuk yang masing-masing menyumbang kepada pertumbuhan dan kesejahteraan.

“Maka, hadirnya bukan sahaja memberi pengajaran dan kasih sayang, tetapi juga kritikan membina, membentuk kita menjadi versi terbaik diri kita.

“Harus kita ingat, keibuan adalah tentang ‘memberi’, iaitu memberi kasih sayang, memberi ilmu dan tunjuk ajar serta memberi keselamatan.

“Seterusnya, mewujudkan ikatan kekal dan memenuhi keperluan kehidupan semua,” katanya.

Related Articles

Back to top button