AMK anjur konvensyen Suara Anak Muda Sabtu ini
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mengumumkan akan mengadakan konvensyen Suara Anak Muda pada hujung minggu ini.
Naib Ketuanya, Atyra Hanim Razali berkata, konvensyen itu bakal menjadi pentas bagi mengangkat suara anak muda daripada pelbagai latar belakang, pendidikan dan pekerjaan supaya dapat didengari oleh kerajaan.
Tambahnya, tujuh kumpulan belia mewakili Orang Asli, petani, pekerja gig-ekonomi, doktor kontrak, atlet, pelajar universiti, dan belia bandar akan diberi peluang pada konvensyen itu untuk berdebat dan menyuarakan rungutan mereka mengenai penggubalan dasar.
Turut diberi ruang menyatakan pandangan mereka adalah kumpulan merangkumi orang kelainan upaya (OKU) serta mereka yang termasuk dalam kategori Undi18.
“Hasil resolusi perhimpunan berkenaan akan dipanjangkan kepada anggota pentadbiran yang terkait bagi memudahkan penggubalan Naratif Ekonomi Madani, yang dijadualkan dilancarkan pada Ogos ,” katanya sewaktu sidang media mempromosikan Konvensyen Suara Anak Muda pada Selasa.
Selain itu tambah Atyra, melalui konvensyen itu juga AMK berharap ia akan dapat mencapai tiga objektif resolusi umum.
“Pertamanya, kita mahu mengukuhkan kebaikan awam yang mana ia melibatkan kesihatan dan pengangkutan umum yang sering digunakan oleh orang ramai.
“Kedua ialah negara kendiri yang mana ia merupakan usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang mahu mengeluarkan makanan sendiri dan ketiga adalah gaji bermaruah untuk anak muda,” jelasnya.
Suara Anak Muda akan diadakan pada Sabtu ini (15 Julai) jam 10.30 pagi di PJ Live Arts di Jaya One.