KBS rancak Program Rakan Muda di semua daerah, usaha perkukuh integrasi nasional
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal merancakkan Program Rakan Muda dalam usahanya memperkukuh perpaduan dan integrasi nasional.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, kementeriannya akan menyelaraskan perkara itu bersama Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi menjalankan program berkaitan.
“MBM dapat (peruntukan) RM5 juta tahun ini menerusi Geran Pentadbiran, tambah lagi RM2 juta untuk program Rakan Muda dan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ‘topup’ RM3 juta untuk kumpulan belia.
“(Jadi) KBS akan selaraskan dengan MBM untuk pastikn MBM mempunyai dana tambahan untuk melakukan program Rakan Muda,” katanya.
Hannah ditemui pemberita selepas majlis perasmian sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2024 peringkat kebangsaan di Dataran Pahlawan.
Pada sambutan itu, perdana menteri mengumumkan dana tambahan RM3 juta bagi melaksanakan program dan pengurusan kelab-kelab belia seluruh negara.
BACA LAGI: Program Rakan Muda jadi platform isi masa berkualiti, penyatuan perpaduan belia
Sementara itu sebagai mengulas sambutan HBN itu beliau berkata, ia diyakini dapat memperkukuh potensi modal insan belia sebagai pemacu pembangunan strategik negara dan memperluas akses belia kepada inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan seiring dengan kerangka Malaysia MADANI dan Model Pembangunan Belia MADANI 2030 (MPBM 2030).
“HBN kali ini adalah tahun kedua kita bekerjasama dengan MBM yang terlibat sebagai penganjur dan KBS hanya memantau pelaksanaan sambutannya. Ini adalah usaha kita dalam memperkasakan MBM secara terus untuk terlibat sama dalam penganjuran dan bukannya sebagai pemerhati,” katanya.