Semasa

KBS sasar 60,000 belia sertai program Sekolah Rukun Negara

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mensasarkan lebih 60,000 belia menyertai Program Sekolah Rukun Negara sehingga hujung tahun ini.

Timbalan Menteri KBS, Adam Adli Abd Halim berkata, program tersebut yang bertujuan untuk mendedahkan belia dengan kefahaman dan pengetahuan demokrasi boleh disertai mereka yang berusia antara 15 dan 30 tahun dan terutamanya lepasan sekolah berusia 18 tahun.

“Sekolah Rukun Negara ialah program nasional untuk menjawab persoalan perihal literasi politik dalam kalangan belia. Dalam program ini, kita bukan hanya bagi kuliah tetapi kita galakkan peserta untuk jadikan platform ini sebagai ruang ekspresi.

“Matlamatnya, memastikan kita memberi pendidikan politik dan demokrasi sesuai dengan keperluan sekarang. Tidak adil kita mengikat golongan pengundi muda dengan tanggungjawab tanpa memberi ruang untuk mereka berbincang politik secara sihat,” katanya selepas pelancaran Program Sekolah Rukun Negara di Dewan Panggung Seni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi pada Rabu.

Difahamkan, program dibawah inisiatif i-LEAD, agensi di bawah KBS itu dilaksanakan secara tiga fasa iaitu kursus asas, kursus pertengahan dan kursus lanjutan.

Antara objektif pelaksanaan program tersebut adalah meningkatkan kesedaran dan kefahaman golongan belia tentang sistem Demokrasi Berparlimen Raja Berpelembagaan; dan memantapkan semangat patriotik, jati diri dan kesepaduan nasional untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab.

Ia dijalankan selama setengah hari dan boleh dianjurkan di sekolah, universiti dan pusat belia.

Kursus pertengahan dan lanjutan pula masing-masing akan dilaksanakan selama tiga hari dua malam atau empat hari tiga malam di Kem Wawasan Negara kendalian Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD), katanya.

Mengulas lanjut Adam Adli berkata, antara modul yang akan digunakan dalam program tersebut ialah Perlembagaan Persekutuan, Parlimen, proses pengundian, prinsip Rukun Negara, pilihan raya dan kerajaan tempatan.

“Pembangunan modul-modul di bawah Program Sekolah Rukun Negara melibatkan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik di Malaysia,” jelasnya.

Sementara itu Adam Adli berkata seramai 16,759 belia telah menyertai program itu secara bersemuka sejak ia dilaksanakan 6 Mei lalu.

Related Articles

Back to top button