Nasional

Dua punca dikenal pasti dalam laporan akhir insiden helikopter TLDM

Laporan akhir nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu pesawat Fennec dan HOW AW139 yang telah mengorbankan 10 orang pegawai dan anggota laut di Lumut, Perak pada 23 April lalu telah dikenal pasti.

Menurut Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob, antara faktor utama kejadian nahas tersebut adalah pesawat Fennec tidak berada pada ketinggian dan haluan yang telah ditetapkan serta memasuki laluan pesawat HOM AW139.

“Manakala, faktor yang kedua, punca kemalangan tersebut berlaku membabitkan ‘channelized attention’ oleh kru pesawat HOM AW139 yang hanya tertumpu ke arah penukaran haluan dan mengehadkan reaksi mengelak pelanggaran.

“Laporan itu diperoleh selepas semakan rakaman video berdurasi tujuh saat kedudukan tujuh helikopter yang terbabit dalam raptai Hari Ulangtahun TLDM ke-90,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan pada Khamis.

Beliau berkata, laporan akhir itu adalah kesinambungan daripada laporan awal yang telah dikeluarkan pada 9 Mei lalu.

“Lembaga Siasatan telah melaksanakan siasatan bagi mengenal pasti punca atau faktor yang telah menyebabkan insiden tersebut berlaku,” jelasnya.

Dalam pada itu, Lembaga Siasatan melaksanakan analisis semula profil penerbangan dengan melakukan simulasi semula penerbangan yang juga menggunakan pesawat sebenar.

Menurutnya, seramai sembilan anggota pegawai TLDM berkepakaran penerbangan dan kejuruteraan ditubuhkan pada hari insiden tersebut berlaku bagi membantu siasatan.

“Selain itu, Lembaga Siasatan itu turut melibatkan bantuan dari Markas Tentera Udara – Directorate General Technical Airworthiness (DGTA) serta doktor perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.

TLDM memaklumkan mangsa yang terkorban ialah Pegawai Memerintah Skuadron 502, Komander Muhamad Amir Mohamad, Leftenan T. Sivasutan (juruterbang Skuadron 502) serta Pegawai Waran II Mohd Shahrizan Mohd Termizi (Kuartermaster Udara Skuadron 502).

Mangsa lain Pegawai Memerintah Skuadron 503 Komander Muhammad Firdaus Ramli, Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Zainal Abidin, Pegawai Taktikal Udara Skuadron 503 Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohd Marzukhi, dan Kuartermaster Udara Skuadron 503 Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun.

Tiga anggota wanita yang maut pula ialah Laskar Kanan Joanna Felicia anak Rohna dari Markas Udara TLDM, Pegawai Waran II Norfarahimi Saedy (Depot Bekalan Armada Barat), dan Bintara Muda Nor Rahiza Anuar (Depot Bekalan Armada Barat).

Related Articles

Back to top button