Semasa

Golongan muda diseru terap ilmu Turath dalam AI

Khazanah ilmu Islam dan Turath (kitab warisan) perlu diterapkan dalam kecerdasan buatan (AI) sebagai korpus (himpunan bahan kajian), agar perkembangan teknologi itu seiring dengan adab dan akhlak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membuat seruan itu berkata, usaha itu perlu dimulakan anak-anak muda di negara ini bagi mengelak teknologi itu hanya dipenuhi dan dipelopori unsur dan bahan dari barat semata-mata.

“Kalau mahu berjaya, kita mesti latih anak-anak kita yang mempunyai kemahiran, kepakaran AI itu untuk memasukkan, memuatkan khazanah ilmu islam dan Turath dalam korpus AI.

“Apa yang dilontar dan dimuntahkan robot baru AI ini berdasarkan ilmu yang dimasukkan kepada dia. Sekarang ini kita serah kepada barat.

“Sebab itu saya katakan Turath itu ada kaitan, kerana Turath itu mesti juga dimasukkan supaya AI yang dimuntah dan diluahkan dari negara Islam tidak terpisah daripada sistem nilai dan akhlak Islam,” kata Anwar.

Beliau berkata begitu ketika merasmikan Seminar Penghayatan Riyadus Salihin Iman Al-Nawawi di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam pada Sabtu.

Turut hadir dalam seminar itu adalah , bekas Imam Besar Mesir, Prof Dr Ali Jum’ah, Pengarah Pusat Kajian Islam Quantum Akhyar Institute Dr Adi Hidayat dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

BACA LAGI: Festival Turath Islami Selangor pupuk budaya keilmuan, kukuh akidah umat Islam

Sementara itu Anwar menegaskan, Malaysia tidak boleh terpisah dan tertinggal dengan pengembangan serta kepesatan teknologi yang diperkenal pada masa ini.

“Tidak mungkin Malaysia atau negara Islam selamat tanpa menggapai langit, meneroka, menemui penemuan baru digital dan AI. Semua ini ada nilai. Siapa kata digital atau sains atau AI itu tiada nilai? ada.

“Saya tanya kepada Pengarah Eksekutif Microsoft dan Nvidia. Nvidie ini antara AI nombor satu di dunia. Saya tanya dia, saya kata kebimbangan saya di Malaysia dalam mengembangkan AI dan digital, nilai yang dipupuk itu nilai barat. Pemikiran barat.

“Tapi jawapan mereka itu relevan. (Jawabnya) ia terserah kepada kita. Kalau AI itu nak di kembangkan di Malaysia (sebab itu) yang kita asak dengan kuat supaya universiti-universiti dan fakulti AI diwujudkan dan sebagainya,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button