Semasa

Akta baharu hukum pihak jaja isu 3R sedang dikaji – Azalina

Kerajaan mengkaji untuk mewujudkan satu akta baharu bagi menghukum pihak yang mempermainkan isu 3R (agama, raja dan kaum) daripada aspek sivil.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, akta baharu itu, yang mungkin dinamakan Akta Negara dan Bangsa yang berfungsi seperti Akta Keharmonian Kaum di Singapura tetapi dalam konteks Malaysia.

Buat masa ini, sebarang kesalahan melibatkan isu 3R disiasat di bawah Akta Hasutan 1848 sedangkan akta itu lebih menjurus kepada elemen kesalahan jenayah sehingga menyebabkan pendakwaan memakan masa yang lama berikutan prosedur undang-undang.

“Jadi, saya menyatakan mungkin kita perlu menilai dalam elemen positiviti… akta sedemikian yang dicadangkan berbentuk punitif.

“Maknanya kalau dia langgar, dia akan dikenakan denda. Itu lebih senang diselesaikan atau disabitkan. Kalau ikut jenayah, prosedur, pengukuran bukan mudah,” katanya.

Azalina berkata begitu kepada pemberita selepas menjadi tetamu Forum ‘Malaysia Di Ambang PRN 2023’ di Menara Dato Onn malam tadi.

Dalam pada itu, ketika mengulas keperluan agar akta baharu itu diwujudkan, Azalina berkata, cabaran yang dihadapi ketika ini ialah apabila isu 3R dimainkan di media sosial, ia mampu dinafikan dan tiada mempunyai bukti kukuh.

Katanya, kewujudan akta baharu adalah penyelesaian kepada isu 3R yang semakin menjadi-jadi di Malaysia seterusnya memastikan keperluan generasi akan datang lebih terjamin.

Related Articles

Back to top button