Dasar OGSE bakal disemak semula, pastikan industri kekal mampan, mencapah – Rafizi
Dasar berkaitan industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) bakal disemak semula bagi memastikan sektor itu lebih mampan, tangkas dan mencapah.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, industri minyak dan gas O&G di Malaysia telah bertukar secara drastik dalam tempoh 15 tahun lepas dengan keluaran minyak negara telah menurun daripada paras kemuncaknya sebanyak 650,000 tong sehari kepada 370,000 tong sehari.
“Saya berpandangan itulah realisasi di dunia, bukan sahaja di Malaysia, bahawa kita sedang menyaksikan pengurangan secara beransur-ansur dan bukannya menghentikan bahan api fosil dengan mendadak.
“Oleh yang demikian, minyak mentah dan gas juga akan mengalami keadaan itu,” katanya selepas majlis pelancaran Banci OGSE 2024 di Kuala Lumpur pada Khamis.
Banci OGSE dilaksanakan mulai Jun hingga September 2024 yang diadakan buat julung kalinya oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dengan kerjasama Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC) dan Petronas, katanya.
Ia diharap akan membantu pembangunan sektor OGSE yang lebih kukuh, berdaya tahan dan berdaya saing di peringkat global dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
BACA LAGI: ‘Malaysia mungkin perlu import gas sepenuhnya menjelang 2050’ – Rafizi
Sementara itu Rafizi berkata, isyarat daripada kerajaan turut penting supaya sektor kewangan dapat menyesuaikan semula dengan realiti baharu industri.
Untuk itu kementeriannya sedang mengusahakan inisiatif khusus untuk industri memandangkan susulan profil risiko, ia perlu diselesaikan dengan sedikit berbeza.
“Perbincangan mengenai pemberian kredit dan kredit swasta kepada syarikat minyak dan gas (O&G) yang layak adalah berterusan
“Penyesuaian dasar daripada kerajaan perlu dilaksanakan supaya pembiayaan tidak akan lagi menjadi agak mencabar,” tambahnya.