Semasa

Tidak benar dakwaan pengusaha kecil dinafikan hak terima ‘Fleet Card’ – Anthony Loke

Kementerian Kewangan akan mengumumkan mekanisme pemulangan (refund) subsidi diesel untuk pengusaha bas dan lori yang belum menerima Fleet Card.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook pada Isnin memaklumkan perkara itu bagi menjawab dakwaan segelintir pengusaha bas dan lori bahawa mereka dinafikan dari menerima subsidi bahan bakar itu.

“Kalau dia berada dalam kategori yang telah diluluskan, dia ada hak dan kelayakan untuk dapat Fleet Card.

“Mereka mesti simpan resit untuk buktikan berapa banyak diesel yang digunakan untuk mendapatkan pemulangan.

“Akan ada mekanisme untuk kita refund (pemulangan) subsidi kepada pengusaha-pengusaha yang belum terima Fleet Card,” jelasnya pada satu sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Gabungan Persatuan Lori dan Bas baru-baru ini dilapor sebagai berkata, hanya permohonan Fleet Card syarikat besar diluluskan manakala tiada maklum balas bagi permohonan dibuat ahli syarikat kecil.

Mengulas dakwaan itu Anthony Loke berkata, berkemungkinan permohonan yang dibuat syarikat–syarikat itu agak lambat menyebabkan mereka tidak menerima Fleet Card sebelum pengumuman pelarasan harga diesel diumumkan.

“Kebanyakannya ialah mungkin dari segi permohonan yang dibuat agak lambat, jadi dia tak dapat Fleet Card sebelum pengumuman (dibuat),” jelasnya.

BACA LAGI: Simpan resit untuk ‘refund’ jika belum terima ‘fleet card’

Sementara itu tambahnya, adalah penting untuk semua pihak memahami mengapa kerajaan perlu melaksanakan dasar ini.

Tegasnya, ia merupakan satu signal bahawa Kerajaan Perpaduan mempunyai keinginan politik untuk mengubah struktur ekonomi negara dan menyelamatkan berbilion ringgit yang hanya menguntungkan penyeludup.

Related Articles

Back to top button