Politik

Kenapa pemimpin PN tak berani tegur tindakan Sanusi ‘hina’ Sultan, soal Saifuddin

Rakyat Selangor sedang menanti permohonan maaf dari Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor susulan kenyataannya yang mempersoal kewibawaan Sultan Selangor.

Setiausaha Pengelola Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad dalam satu kenyataan berkata tindakan Sanusi memperlekeh keputusan Sultan memilih Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor adalah biadap dan mengejutkan.

Tambah Saifuddin, beliau merasa hairan kerana sehingga kini tiada mana-mana pemimpin dari Pas atau Perikatan Nasional (PN) berani membuat teguran kepada Pengarah Pilihan Raya PN itu.

Sedangkan mereka sebelum ini mendabik dada mendakwa kononnya mereka mahu memperjuang nasib dan maruah orang Melayu.

“Umum mengetahui bahawa pelantikan Menteri Besar adalah kuasa dan budi bicara Sultan Selangor seperti yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.

“Namun yang lebih dikesalkan adalah sehingga kini tidak ada pimpinan PN Negeri Selangor yang berani menempelak sikap kurang ajar Sanusi.

“Adakah mereka ini tidak berani bersuara atau mereka sedar bahawa mereka bergantung penuh pada Sanusi untuk menarik orang datang mendengar ceramah mereka?’ soalnya.

Semalam Cabang Shah Alam membuat laporan polis menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap kenyataan Sanusi yang disifatkan menghina Sultan Sharafuddin Shah.

Mereka menegaskan kenyataan dibuat Sanusi itu sebagai menyemai perpecahan dalam kalangan rakyat itu.

Sementara itu Saifuddin dalam kenyataan sama turut mempersoalkan sikap bekas Menteri Besar, Mohammad Azmin Ali yang tidak berani menegur kenyataan memperlekeh institusi Istana itu walaupun berada sepentas dengan Sanusi.

“Apakah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang sepentas dengan Sanusi pada malam itu tidak ada keberanian untuk menegur individu yang secara terang-terangan memperlekehkan institusi Kesultanan Selangor?

“Jika Azmin Ali pun tidak berani, apakah yang rakyat Selangor boleh harapkan kepada pimpinan PN Selangor seperti Dr. Afif Bahardin, Dr. Yunus Hairi dan juga Tan Sri Noh Omar?

“Inikah muka-muka yang boleh rakyat Selangor berikan kepercayaan dalam mengemudi negeri bermaruah seperti Selangor Darul Ehsan?” soalnya.

Related Articles

Back to top button