Faisal Halim mahu segera pulih, rindu main bola
Pemain Selangor FC, Faisal Halim berharap dapat pulih dan dapat turun ke padang dalam tempoh beberapa minggu lagi.
Beliau yang membuat kemunculan pertama di hadapan media dan orang ramai selepas kes serangan asid pada 5 Mei lalu mengakui seboleh-bolehnya tidak lagi mahu mengingati insiden ngeri menimpa dirinya.
“Sejujurnya saya amat rindukan bola sepak baik berlatih atau bermain. Bukan mudah untuk saya sekadar terlantar di rumah untuk menonton pasukan Selangor dan Malaysia bermain melalui televisyen.
“Kaki memang menggigil, hati memang meronta-ronta untuk bermain. Namun buat masa sekarang saya fokus kepada proses pemulihan sebelum saya boleh kembali bermain,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Selangor FC pada Khamis.
Faisal atau lebih dikenali Mickey, berkata, tumpuannya kini adalah untuk mengharungi proses pemulihan selain meminta semua pihak mendoakan kesembuhannya.
Faisal Halim mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya dan terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari.
Seterusnya pada 25 Mei, Selangor FC menerusi kenyataan mengesahkan pemain sayapnya itu dibenarkan keluar dari sebuah hospital swasta di sini selepas menjalani empat pembedahan susulan insiden berkenaan.
Pemain berusia 26 tahun itu kemudian menjalani proses pemulihan di lokasi dirahsiakan demi keselamatan dirinya.
BACA LAGi: PM Anwar doakan Faisal Halim segera sembuh
Pada kehadirannya semalam keadaan kulit tangan kiri Faisal dilihat mengelupas teruk selepas lebih sebulan disimbah asid selain terdapat kesan melecur di bahagian muka.
Sepanjang pemerhatian pihak media, tangan kirinya itu juga dilihat tidak dapat diangkat dengan sempurna.
Demi Keselamatan diri dan keluarga
Penjaring Gol Terbaik Piala Asia itu turut dilihat sebak apabila berkongsikan luahan hatinya melalui sidang media diadakan.
Beliau mendedahkan pernah menyampaikan hasrat untuk menamatkan kariernya kepada Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC (SFC), Datuk Seri Shahril Mokhtar hanya untuk memastikan keselamatan diri dan keluarganya.
“Saya sangggup hilang gaji puluhan ribu ringgit asalkan keluarga saya selamat.”
“Namun, Datuk Seri beritahu saya, beliau beri jaminan keselamatan saya dan keluarga. Ketika itu saya kembali bersemangat untuk teruskan bermain bola sepak kembali,” jelasnya.
Dikenali dengan perwatakan ceria, beliau berkata, kemungkinan terpaksa mengubah karakter untuk menjadi ‘sombong’ selepas ini bagi melindungi keselamatan dirinya.
“Saya selalu senyum kalau jumpa orang. Lepas ini mungkin perlu sombong untuk kebaikan sebab saya terlalu baik dengan semua orang.
“Saya tidak tahu saya ada musuh ataupun tidak sebab saya tak pernah buat masalah dengan orang,” tambah Faisal.