Sukan

Hannah janji usaha tingkatkan insentif Shakam untuk atlet negara

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berjanji akan memperjuangkan saranan agar nilai insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) ditingkatkan.

Menurut Hannah, beliau bakal membangkitkan saranan tersebut dalam mesyuarat Kabinet akan datang supaya boleh dilaksana mulai tahun depan.

“Kita akan meningkatkan usaha untuk menambah insentif kerana masa sudah berbeza sekarang. Kita kena tengok bagaimana kita boleh beri insentif yang lebih efektif kepada atlet.

“Kita tahu berbanding negara (jiran) lain, memang tidak setinggi mereka, tetapi seperti TPM kata, kita kena usahakan ganjaran lebih tinggi untuk mendorong atlet kita,” katanya.

Hannah ditemui pemberita selepas majlis penyampaian Shakam berjumlah RM2.4 juta oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Daripada RM2.4 juta insentif Shakam yang disampaikan pada majlis itu, sebanyak RM1.2 diberikan kepada pemenang pingat di Sukan Sea Kemboja, RM1.18 juta kepada kontinjen Sukan Para Asea dan buat julung kalinya, RM95,500 diberikan kepada kontinjen Sukan Olimpik Khas 2023 di Berlin, Jerman

Mengikut kadar Shakam sedia ada, pemenang pingat emas di Sukan Olimpik dan Paralimpik akan menerima RM1 juta, manakala perak dan gangsa masing-masing layak mendapat RM300,000 dan RM100,000.

Bagi Sukan Komanwel, Asia dan Para Asia, pemenang pingat akan mendapat RM80,000 (emas), RM40,000 (perak) dan RM20,000 (gangsa), manakala Sukan Sea dan Para Asean mendapat RM20,000 (emas), RM3,000 (perak) dan RM1,000 (gangsa).

Sementara itu tambah Hannah, pihaknya juga akan melihat kepada cara untuk menggalakkan lebih banyak penglibatan syarikat swasta dalam pemberian insentif kepada atlet seperti pelepasan cukai kepada syarikat pada pembentangan Belanjawan akan datang.

Related Articles

Back to top button