Nasional

‘Tunggang’ isu BlackRock, satu tindakan politik sempit – Fahmi

Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil menyelar tindakan beberapa pihak yang ‘menunggang’ isu penyertaan BlackRock Inc dalam penstrukturan semula kepentingan Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB).

Katanya, ia bukan sahaja satu tindakan politik sempit bertujuan mewujudkan persepsi jahat dalam kalangan rakyat, malah menyifatkannya sebagai ‘a very short sighted approach’ yang mampu merosakkan perancangan negara.

“Mereka yang cuba menunggang isu ini tidak melihat kepada kepentingan kita menambah baik mutu perkhidmatan di lapangan terbang.

“Sejujurnya, BlackRock tiada kaitan secara langsung dengan perbincangan antara MAHB dan Global Infrastructure Partners (GIP), syarikat yang dirasakan mempunyai kemampuan dan kepakaran untuk membantu kita memulihkan dan menambah baik lapangan terbang,” katanya kepada pemberita.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, BlackRock merupakan pelabur institusi dan terlibat sebagai pemegang saham pelbagai syarikat di seluruh dunia, bukan hanya di Malaysia.

Dalam isu penstrukturan semula MAHB, beliau menjelaskan, bahawa 70 peratus saham entiti itu dipegang Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan golden share, selebihnya kepada GIP, dan tiada saham dijual kepada BlackRock.

Justeru, beliau menegaskan semua keputusan strategik dalam MAHB masih di tangan kerajaan Malaysia antaranya dalam urusan menentukan pemilihan jawatan-jawatan penting termasuk pengerusi, ketua pegawai eksekutif, dan memastikan tiada mana-mana petugas akan dibuang kerja.

Related Articles

Back to top button