KDN sambut baik peningkatan ranking laporan pemerdagangan manusia
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyambut baik peningkatan positif kepada Malaysia yang berjaya dinaiktaraf ke Tahap 2 dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang tahun 2024 yang diumumkan pada Isnin di Washington DC.
Menurut KDN, peningkatan tersebut adalah amat strategik dan sangat signifikan kerana Malaysia sebelum ini dinilai pada Tahap 2 Pemerhatian pada tahun lalu dan kali terakhir berada di Tahap 2 adalah pada tahun 2017.
“Kejayaan ini adalah hasil usaha pelbagai pihak berkepentingan yang turut memberi sumbangan bermakna dan berterusan dalam menjayakan agenda membanteras pemerdagangan orang di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah KDN, antara pencapaian signifikan yang direkodkan adalah peningkatan bilangan penyiasatan, sabitan kes dengan hukuman yang signifikan, program kesedaran, pendakwaan terhadap penjawat awam, peningkatan pendakwaan kes pemerdagangan buruh, penyaluran peruntukan kepada rumah perlindungan serta peningkatan kelulusan kebenaran bergerak bebas kepada mangsa pemerdagangan orang.
Laporan ini juga menggariskan 16 perkara penambahbaikan dan pelan tindakan yang boleh dilaksanakan oleh Malaysia untuk penilaian tahun berikutnya iaitu mulai 1 April lalu hingga 31 Mac 2025.
Selain itu, jelas KDN, laporan tersebut juga merekodkan perkara penambahbaikan baharu iaitu memberi perkhidmatan berpaksikan mangsa kepada semua tanpa syarat yang memerlukan penyertaan mereka dalam prosiding jenayah.
“Tiga fokus utama telah direncana bagi memandu hala tuju pelaksanaan usaha negara iaitu mempertingkatkan kerjasama antara agensi, memperhebat usaha mengenalpasti dan melindungi mangsa serta menambah baik proses pendakwaan,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, KDN berkata, Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) yang diterajui oleh KDN bersama kementerian dan agensi kerajaan lain beriltizam melaksanakan tindakan dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang di Malaysia termasuklah dalam menangani trend terbaharu melibatkan penipuan pekerjaan dan insiden pekerja terabai.
Dalam pada itu, KDN menegaskan, usaha menoktahkan pemerdagangan orang di negara ini memerlukan kerjasama erat pelbagai pihak berkepentingan.
“Justeru, KDN dan MAPO terbuka untuk berganding bahu dengan badan bukan Kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat madani (CSO), pertubuhan antarabangsa, perwakilan diplomatik asing, ahli akademik dan pihak majikan dalam menangani isu ini melalui pendekatan menyeluruh negara.
“Komitmen ini diharap dapat menghasilkan inisiatif signifikan berdasarkan teras perundangan, penguatkuasaan, perlindungan dan pencegahan merentasi fungsi pihak berkepentingan yang boleh meningkatkan usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang di Malaysia,” tambahnya lagi.